Tuesday, January 19, 2010

Motosikal bergegar pada kelajuan 80km/j...



SAYA mempunyai motosikal Yamaha Lagenda. Masalah dihadapi adalah motosikal bergegar apabila mencapai kelajuan 80km/j. Saya sudah mengetatkan skru yang longgar akibat gegaran berkenaan. Bagaimanakah cara untuk mengatasinya?


Pijo (bukan nama sebenar),

lenggong

MASALAH gegaran perlu dikaji dari berbagai aspek, sama ada gegaran itu datangnya dari enjin atau dari roda motosikal.

Gegaran enjin lazimnya lebih ketara apabila kita melebihi sesuatu tahap rpm itu iaitu ia menjadi lebih teruk apabila kita melepasi tahap itu.

Gegaran daripada roda kadangkala seperti hilang apabila kita memandu lebih laju contohnya gegaran yang anda alami pada kelajuan 80km/j akan hilang apabila anda melepasi 85km/j.

Gegaran roda ini boleh diatasi dengan melakukan penimbangan tayar (balancing) bagi memastikan masalah sebenar, sama ada ia dari tayar atau kerana rim tayar bengkok.

Gegaran enjin pula membayangkan tahap kehausan komponen enjin melebihi tahap kelegaan dibenarkan dan mungkin enjin memerlukan baik pulih (overhaul).

Ini adalah kerana enjin haus dan bergetar apabila ia beroperasi dan menyebabkan gegaran. Punca gegaran enjin ini boleh datang dari berbagai bahagian enjin, sama ada dari piston, gegalas utama atau main-bearing dan mungkin dari bagagian klac atau flywheel.

Waktu sesuai servis motor...


Berapakah jarak kilometer yang memerlukan motor Honda EX5 melakukan servis atau ditukar minyak enjin? Untuk pengetahuan saudara motosikal ini digunakan untuk perjalanan jauh. Bagaimanakah penjagaan enjin bagi memastikan jangka hayatnya dapat dipanjangkan?

Zaini Said,
Melaka.

Minyak pelincir bagi Honda EX-5 anda perlu ditukar setiap 5,000 kilometer seperti dicadangkan pengeluar. Ini adalah untuk memastikan tahap perlindungan diberikan minyak pelincir berada pada tahap yang boleh diterima pakai bagi mengelakkan kerosakan enjin. Minyak pelincir hilang daya pelincirannya sedikit demi sedikit apabila digunakan kerana didedahkan pada haba enjin dan tahap oksida minyak itu sendiri. Haba juga mengubah struktur molekul minyak pelincir menyebabkan ia kehilangan daya pelinciran. Selain itu, minyak menjadi kotor kerana ia bercampur dengan bahan logam yang haus apabila enjin beroperasi. Logam terhaus ini tidak kelihatan dengan mata kasar, namun ia wujud dan ditakung dalam takungan minyak. Oleh itu, wajar ia ditukar dengan minyak baru sementara daya pelinciran masih berada dalam tahap yang boleh diterima kerana minyak pelincir mengandungi bahan pembersih untuk mencuci enjin. Minyak pelincir menyumbang kepada penyejukan enjin dan daya penyejukan ini menurun melalui masa. Minyak lama menyebabkan enjin beroperasi lebih panas dari biasa dan menyebabkan kehausan melampau. Selain minyak, pastikan semua peralatan boleh servis (serviceable parts) seperti penapis minyak, penapis udara dan palam pencucuh ditukar menepati julat kilometer yang dicadangkan pengeluar motosikal. Ini dapat menjamin ketahanan enjin dan operasi enjin yang baik.

Minyak pelincir satu-satunya pelindung enjin...


Saya baru sahaja membeli motosikal Honda Wave 125 dan menukar minyak 4T untuk kali pertama selepas habis 'pantang'. Adakah sesuai jika saya menggunakan minyak 4T shell VSX untuk motosikal saya? Bagaimana pula kesannya terhadap enjin dalam jangka masa panjang. Adakah kadar kilometer untuk menukarnya sama dengan minyak jenis mineral sepenuhnya?

Ingin tahu,
Kuala Lumpur.


Honda Wave 125 menggunakan piston bersalut molbdenum bagi meningkatkan lagi tahap kelancarannya dan penggunaan bahan ini meningkatkan hayat penukaran minyak pelincir dari 5,000 km kepada 6,000 km.

Seperti yang dihuraikan dalam jawapan bagi soalan satu, tahap pelinciran minyak pelincir menurun apabila melalui operasi enjin dan perlu ditukar apabila ia melepasi satu satu tahap yang boleh diterima pakai oleh enjin.

Penggunaan molbdenum meningkatkan daya ketahanan enjin dari segi mengurangkan geseran pada dinding piston dan ini menyumbang kepada kelancaran enjin dan juga mempertingkatkan lagi daya ketahanan enjin, jadi tahap pelinciran yang diperlukan dari minyak pelincir menurun.

Minyak pelincir bagi Honda Wave 125 ini boleh dipakai lebih lama. Penggunaan minyak Shell VSX separa sintetik adalah amat digalakkan kerana akan memberikan perlindungan yang lebih baik.

Tukar mengikut jadual iaitu setiap 6,000 km dan ia memberikan hasil yang diharapkan, kerana Shell VSX memberikan perlindungan maksimum dalam keadaan yang memerlukan.

Agak rugi jika kita cuba berjimat dengan penukaran minyak pelincir berikutan ia adalah satu satunya bahan perlindungan dalam enjin anda bagi mengelakkan kehausan melampau.