
Berapakah jarak kilometer yang memerlukan motor Honda EX5 melakukan servis atau ditukar minyak enjin? Untuk pengetahuan saudara motosikal ini digunakan untuk perjalanan jauh. Bagaimanakah penjagaan enjin bagi memastikan jangka hayatnya dapat dipanjangkan?
Zaini Said, Melaka.
Minyak pelincir bagi Honda EX-5 anda perlu ditukar setiap 5,000 kilometer seperti dicadangkan pengeluar. Ini adalah untuk memastikan tahap perlindungan diberikan minyak pelincir berada pada tahap yang boleh diterima pakai bagi mengelakkan kerosakan enjin. Minyak pelincir hilang daya pelincirannya sedikit demi sedikit apabila digunakan kerana didedahkan pada haba enjin dan tahap oksida minyak itu sendiri. Haba juga mengubah struktur molekul minyak pelincir menyebabkan ia kehilangan daya pelinciran. Selain itu, minyak menjadi kotor kerana ia bercampur dengan bahan logam yang haus apabila enjin beroperasi. Logam terhaus ini tidak kelihatan dengan mata kasar, namun ia wujud dan ditakung dalam takungan minyak. Oleh itu, wajar ia ditukar dengan minyak baru sementara daya pelinciran masih berada dalam tahap yang boleh diterima kerana minyak pelincir mengandungi bahan pembersih untuk mencuci enjin. Minyak pelincir menyumbang kepada penyejukan enjin dan daya penyejukan ini menurun melalui masa. Minyak lama menyebabkan enjin beroperasi lebih panas dari biasa dan menyebabkan kehausan melampau. Selain minyak, pastikan semua peralatan boleh servis (serviceable parts) seperti penapis minyak, penapis udara dan palam pencucuh ditukar menepati julat kilometer yang dicadangkan pengeluar motosikal. Ini dapat menjamin ketahanan enjin dan operasi enjin yang baik.
No comments:
Post a Comment